Al-kisah maka tersebutlah satu kisah..
Pada satu hari, Luqman al-Hakim disuruh oleh tuannya menyembelih seekor kambing, lalu berkata si tuan itu : wahai Luqman! Pisahkanlah dari kambing ini, 2 ketul dagingnya yang paling istimewa sekali! Maka Luqman pun memotong lidah dan hati kambing itu, serta dihulurkannya kepada tuannya..
Pada ketika yang lain pula, si tuan itu datang lagi, serta menyuruh Luqman menyembelih seekor kambing yang lain pula. Kemudian berkata si tuan itu: wahai Luqman! Pisahkanlah dari kambing ini, 2 ketul kambing yang paling jelek sekali! Maka Luqman sekali lagi mengambil lidah dan hati kambing itu, kemudian diserahkannya kepada tuannya..
Si tuan merasa takjub dan hairan, seraya berkata : wahai Luqman! Dahulu aku minta 2 ketul daging yang istimewa dari seekor kambing, engkau berikan aku lidah dan hati. Kali ini, aku minta pula 2 ketul daging yang paling jelek sekali dari seekor kambing, engkau berikan aku lidah dan hati juga, bagaimana halnya? Tolong terangkan!
Luqman menjawab: ya tuanku, sebenarnya tiada suatu anggota pun yang lebih baik daripada hati dan lidah, jika keduanya memang baik. Sebaliknya pula, tiada suatu anggota pun yang lebih buruk daripada hati dan lidah, jika keduanya memang jahat.
Kesimpulan daripada kisah ini, sememangnya lidah dan hati itu merupakan tempat duduk segala rahsia. Kedua-duanya memainkan peranan yang penting dalam menentukan budi pekerti dan kelakuan manusia. Apabila baik lidah dan hati manusia, maka baiklah kelakuannya. Sebaliknya apabila jahat hati dan lidahnya maka jahatlah kelakuannya.
Seperti dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Tiada akan lurus keimanan seseorang hamba, sehingga lurus hatinya. Dan tiada akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya”..
Oleh itu, jelaslah disini bahawa apa yang hendak disampaikan oleh Luqmanul Hakim adalah tentang peranan hati dan lidah dalam pembentukan sahsiah diri kita untuk menjadikan kita seorang manusia yang baik atau jahat..
No comments:
Post a Comment